Khamis, 31 Mac 2022

Kematian Suatu Ujian

 Kematian Suatu Ujian


Setiap kehidupan akan berakhir dengan kematian. Hidup dan mati adalah ujian buat insan. Firman Allah SWT:


الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا


 “(Allah) Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk : 2)


Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata bahawa perkataan “kematian” didahulukan daripada perkataan “kehidupan” kerana kematian itu lebih dekat.


Kematian yang dialami oleh manusia, sama ada kematian secara mendadak seperti serangan jantung, kemalangan dan sebagainya, atau kematian biasa yang terjadi melalui proses penuaan secara perlahan-lahan, kesemuanya mengalami apa yang dinamakan sakarat al-maut, yakni hilangnya kesedaran yang diikuti oleh perpisahan ruh daripada jasad.


Kematian bukanlah kemusnahan untuk selama-lamanya. Kematian adalah perpindahan dari satu tempat ke tempat lain, dari satu persinggahan ke persinggahan seterusnya, dari alam dunia ke alam barzakh menuju ke alam akhirat yang kekal abadi.


Kata Umar bin Abdul Aziz:


إِنَّمَا خُلِقْتُمْ لِلأَبَدِ  وَلَكِنَّكُمْ تُنْقَلُونَ مِنْ دَارٍ إِلَى دَارٍ


“Kamu semua dicipta untuk kehidupan yang lebih abadi. Kamu sebenarnya berpindah dari satu tempat ke tempat yang lain.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 5/287)


Abu al-ʿAtahiyyah, seorang penyair terkenal berkata:


وَما الموْتُ إلاّ رِحْلَة ٌ، غَيرَ أنّهَا  مِنَ المنْزِلِ الفَاني إلى المنزِلِ الباَقي


Bukanlah kematian itu kecuali adalah sebuah perjalanan. 

Dari tempat musnah ke tempat yang abadi selama-lamanya.


Jenazah di dalam kubur, hidup di alam Barzakh. Menerima nikmat ataupun merasai seksaan sebagai permulaan kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi. Sama ada seseorang itu diberi balasan baik, ataupun dikenakan seksaan. (Lihat Fatawa Mu’asirah, 1/273)


Sama-sama kita menginsafi bahawa kematian pasti ditempuh oleh semua yang hidup. Yang penting, hendaklah kita sentiasa berdoa kepada Allah agar dimatikan dalam husnul khatimah dan kita dapat mengisi kehidupan ini dengan ibadat secara berterusan.


Daripada Busr bin Arthoh berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ أَحْسِنْ عَاقِبَتَنَا فِي الْأُمُورِ كُلِّهَا وَأَجِرْنَا مِنْ خِزْيِ الدُّنْيَا وَعَذَابِ الْآخِرَةِ


 “Ya Allah, perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami serta lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia dan siksaan hidup di akhirat.” (HR Ibn Hibban No: 949)


Jom Doa...


اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا بِسُوءِ الخَاتِمَة


 “Ya Allah, akhirilah hidup kami dengan pengakhiran yang baik dan jangan Kau akhiri hidup kami dengan pengakhiran yang buruk.”

Selasa, 29 Mac 2022

Ramadan yang dinantikan

 Ucapan yang seringkali kita dengar apabila datangnya bulan Ramadhan ialah “Ramadhan Kareem”, manakala jawapan yang dibalasnya pula “Allahhuakram”. Tahiyat atau ucapan ini merupakan simboliknya dengan kedatangan Ramadhan yakni bulan penuh barokah ini.

Pelbagai aktiviti yang menarik dapat dilakukan apabila tibanya bulan mulia ini. Di samping berpuasa yakni dari terbit fajar sehingga terbenam matahari, umat Islam juga turut digalakkan melakukan aktiviti yang bermanafaat serta dapat mendidik jiwa menjadi lebih murni.

Qiamullail atau bangun sepertiga malam
Qiamullail bermaksud beribadah malam iaitu bangun pada 2/3 malam atau sekurang-kurangnya 1/3 akhir malam, bermula dari pukul 2.30 pagi hingga terbitnya fajar.  Waktu ini amat sesuai bagi umat Islam bagi melakukan solat-solat sunat dan berzikir kepada Allah SWT kerana merupakan waktu yang terbaik untuk beribadat di malam hari setelah penat seharian mencari rezeki di kala petang dan merupakan salah satu turunnya rahmat Allah ke bumi bagi hambanya.

Sabda Rasulullah SAW:

“Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau kamu berminat menjadi seorang dari orang-orang yang mengingati Allah pada saat yang tersebut, maka hendaklah kamu lakukannya.” (At-Tirmizi)

Ibadah Qiamullail sangat digalakan di dalam Islam. Qiamullail boleh dikerjakan secara berseorangan atau secara beramai-ramai. Orang yang mengamalkan Qiamullail akan diangkat darjat dan dihapuskan dosa-dosa mereka.

Tadabbur aI-Quran
Al-Quran merupakan sebuah kitab yang suci penuh dengan kalam Allah. Ia mengandungi mutiara-mutiara yang sangat bermanfaat bagi kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sebagai umat Islam, kita perlulah menghayati atau memahami ayat-ayat suci ini dengan lebih mendalam iaitu dengan bertadabur dan bertalaqi dengan guru yang mahir di dalam bidang tersebut bagi memahami makna balaghah yang terkandung dalam kalamulallah bukan dengan sekadar membuka dan membacanya sahaja.

Tadabbur juga dapat diertikan proses berfikir secara mendalam dan menyeluruh dengan menggunakan ketajaman mata hati supaya dapat memahami maksud Al-Quran dan dapat mencapai makna yang jauh. Hal ini kerana, dengan bertadabbur itulah umat Islam akan lebih memahami seterusnya dapat mengaplikasi dalam kehidupan seharian disamping ianya merupakan cara berinteraksi dengan al-Qur`an yang diinginkan oleh al-Qur`an sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Berbelanja mengikut keperluan bukan kehendak nafsu
Apabila menyebut bulan Ramadhan, pastinya umat Islam di Malaysia khususnya gembira kerana banyak gerai atau bazaar akan dibuka. Kemeriahan Ramadhan dapat dirasai apabila pelbagai jenis makanan akan dijual. Ia juga boleh dikenali sebagai “Syurga Makanan” kepada pengunjung yang hadir.

Namun, disebalik kemeriahan ini, pastinya akan berlaku pembaziran kepada pembeli atau penjual jika ia tidak dibendung awal. Sebagai Umat Islam kita perlulah bersederhana dalam melakukan perkara.

Pada takrif umum, membazir adalah berlebih-lebihan daripada kadar sepatutnya. Pembaziran dapat dielakkan dengan berbelanja secara berhemat. Berbelanjalah mengikut keperluan bukan dengan hanya mementingkan nafsu semata-mata.

Pembaziran ini juga merupakan salah satu cara iblis yang terkutuk dalam memujuk kita, dan telah menunjukkan kita tewas dengan godaan nafsu dek kerana sifat tamak yang menguasai diri kita.  Allah SWT juga telah berfirman dalam kitab sucinya;

 إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُواْ إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورً

“Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan dan Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Al-Israk: 27)

Oleh itu, kita akan dapati pembaziran itu akan membawa kesan yang buruk terhadap rohani dan jasmani seseorang. Sesungguhnya Allah SWT amat murka ke atas individu yang tidak pernah bersyukur di atas nikmatnya dan mereka ini akan menerima balasan buruk daripada Allah SWT disebabkan kelalaian menjaga amanat harta kurniaan Allah. Kita harus ingat bahawa harta yang kita miliki bukan hak mutlak kita bahkan sebenarnya adalah hak Allah SWT.

Kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini juga turut dirasai kemeriahan berpuasa apabila umat Islam dapat melakukan solat Sunat Tarawih bersama-sama serta dapat menambahkan amal soleh dalam mengejar pahala di sisi Allah SWT.

Justeru, kedatangan bulan Ramadhan yang barokah ini kerap ditunggu oleh Umat Islam setiap tahun apabila pahala dibulan Ramadhan ini ditambah berkali ganda dari bulan Islam sebelumnya disebabkan tutupnya pintu neraka serapatnya, dan di buka pintu syurga seluasnya bagi mereka yang beribadah kepada Allah SWT serta turunnya kitab suci Al-Quran kepada umat Islam sebagai panduan hidup di dunia dan di akhirat

Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa

 Biasakan Yang Betul, Betulkan Yang Biasa


Ganti Ucapan Kita Dengan Doa


Jangan ucapkan "0k", tetapi ucapkan اِنْ شَآ ءَ اللَّهُ (In sya Allah)


Jangan ucapkan "wow", tetapi ucapkan سُبْحَانَ اللهُ (SubhanAllah)


Jangan ucapkan "hebat", tetapi ucapkan مَاشَآءَاللّهُ. (Masya Allah)


Jangan ucapkan "saya baik-baik je", tetapi ucapkan الْحَمْدُ لِلَّهِ (Alhamdulillah)


Jangan ucapkan "Terima kasih", tetapi ucapkan جَزَاك اللهُ خَيْرًا (Jazakallahu Khairan)


Jangan ucapkan "Hati-hati dalam perjalanan, nanti kita jumpa lagi", tetapi

ucapkan فِي أَمَانِ الله (Fii Amanillah)


Jangan ucapkan "Hello, Hai" sesama Muslim, tetapi ucapkan السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ (Assalamu alaikkum Warahmatullah).

Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga

 Golongan Yang Dijauhkan Dari Syurga


عَنْ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَدْخُلُ الْجَنَّةَ خَبٌّ وَلَا بَخِيلٌ وَلَا مَنَّانٌ وَلَا سَيِّئُ الْمَلَكَةِ وَأَوَّلُ مَنْ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ الْمَمْلُوكُ إِذَا أَطَاعَ اللَّهَ وَأَطَاعَ سَيِّدَهُ


Daripada Abu Bakar Ash Shiddiq RA dari Nabi SAW, beliau bersabda: "Tidak akan masuk syurga seorang penipu, orang yang bakhil, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya dan pemimpin yang berperangai buruk. Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya)." (HR Ahmad No: 32) Status: Isnad Maqbul


Pengajaran:


1.  Rasulullah SAW memberi amaran kepada umatnya dengan ancaman tidak akan masuk syurga kepada mereka yang mempunyai ciri-ciri berikut:


a.  Orang yang menipu


إِنَّ ٱللَّهَ لَا يَهۡدِي مَنۡ هُوَ مُسۡرِفٞ كَذَّابٞ ٢٨


Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi penipu (al-Ghafir: 28).


b.  Orang yang bakhil


عَنْ أَسْمَاءَ بِنْتِ أَبِي بَكْرٍ قَالَتْ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّهُ لَيْسَ لِي مِنْ بَيْتِي إِلَّا مَا أَدْخَلَ عَلَيَّ الزُّبَيْرُ أَفَأُعْطِي قَالَ نَعَمْ وَلَا تُوكِي فَيُوكَى عَلَيْكِ يَقُولُ لَا تُحْصِي فَيُحْصَى عَلَيْكِ


Daripada Asma' binti Abu Bakar RA ia berkata, "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak memiliki sesuatu kecuali apa yang diberikan oleh Zubair kepadaku, apakah aku harus bersedekah dengannya?" Nabi menjawab: "Ya, dan janganlah engkau bakhil, (jika engkau bakhil) maka Allah akan bakhil kepadamu.  (Sunan Tirmidzi No: 1883) Status: Hadis Hasan Sahih. 


c.  Orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُبْطِلُوا صَدَقَاتِكُم بِالْمَنِّ وَالْأَذَىٰ


Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti (perasaan si penerima).” (QS. Al-Baqarah: 264).


d.  Pemimpin yang berperangai buruk (pemimpin yang menjauhkan rakyat daripada kehidupan yang sejahtera)


Jadilah kita pemimpin yang benar-benar mengutamakan rakyat di bawah. Janganlah kerana kepentingan kedudukan dan pangkat, kita sanggup menyusahkan rakyat. 


2.  Orang yang pertama kali akan masuk syurga adalah hamba  yang taat kepada Allah dan kepada tuannya (majikannya).


3.  Jauhilah perangai penipu, bakhil, suka mengungkit pemberiannya dan berperangai buruk.

MENERAJUI KESEJAHTERAAN SELANGOR