Soalan: Apakah
perbezaan antara sifat ma'ani dan ma'nawiyyah?
Mukadimah
Bagi memudahkan pemahaman masyarakat berhubung
akidah, para ulama’ memberi perhatian kepada beberapa sifat-sifat penting yang
wajib diimani bagi setiap Muslim agar pemahaman berkenaan hal ketuhanan dapat
dicerna dengan baik.
Sifat 20 disusun agak lewat dalam perkembangan
mazhab Asya’irah. Boleh dikatakan, ia datang pada peringkat dan era-era
terakhir dalam penyusunan perbahasan ketuhanan mengikut mazhab Asya’irah. Sifat
20 ini dihimpunkan oleh Imam al-Sanusi dalam karyanya Umm al-Barahin dan
disyarahkan oleh ramai para ulama’ seluruh dunia. Sebelum Imam al-Sanusi,
perbincangan sifat-sifat Allah SWT telah pun dinyatakan dalam buku-buku mereka.
Antaranya Imam al-Haramain al-Juwaini[1] membahagikan sifat-sifat Allah
kepada sifat nafsiyyah dan sifat ma’nawiyyah[2] manakala Imam Fakhruddin al-Razi
pula membahagikan sifat-sifat Allah kepada salbiyyah, idhafiyyah dan haqiqiyyah.[3]
Perbahasan sifat-sifat Allah pada peringkat awal,
terutamanya pada zaman Imam Abu Hasan al-Ash’ari lebih menekankan sifat-sifat
asas yang disebutkan di dalam al-Qur’an iaitu qudrah, iradah, ‘ilm,
hayah, sama’, basar dan kalam. 7 sifat ini adalah
sifat wajib yang berada dalam zat Allah. Sifat inilah yang dinamakan
sifat ma’ani yang akan kami huraikan pada kali ini dan
perbezaannya dengan sifat ma’nawiyyah. Empat bahagian sifat yang di
susun oleh Imam al-Sanusi adalah sifat nafsiyyah, sifat salbiyyah, sifat ma’ani dan
sifat ma’nawiyyah.
Definisi Sifat Ma’ani
Sifat ma’ani adalah tiap-tiap sifat
yang wujud, berdiri dengan kewujudan-Nya yang mewajibkan baginya hukum.
Terdapat takrif lain iaitu “Apa yang menunjukkan atas makna yang ada yang
berdiri dengan Zat.[4] Secara mudahnya, ia bermakna 7 sifat
itu berdiri sendiri dengan zat-Nya dan ia mewajibkan segala ketetapan bagi 7
sifat ma’ani iaitu sifat ma’nawiyyah.
Imam al-Sanusi berkata:
ثُمَّ يَجِبُ لَهُ تَعَالَى سَبْعُ
صِفَاتٍ تُسَمَّى صِفَاتِ الْمَعَانِى
Maksudnya: Kemudian, wajib bagi-Nya 7 sifat
yang dinamakan sifat ma’ani.
Sifat ma’ani tersebut adalah qudrah (Maha
Berkuasa), iradah (Maha Berkehendak), ‘ilm (Maha
Mengetahui), hayah (Maha Hidup), sama’ (Maha Mendengar),
basar (Maha Melihat) dan kalam (Maha Berkata-kata).
Para ulama’ Asya’irah menamakannya sebagai
sifat ma’ani bagi merujuk kepada hakikat yang benar-benar
wujud pada zat Allah iaitu 7 sifat utama; qudrah, iradah, ‘ilm, hayah,
sama’, basar dan kalam.[5]
Al-Imam al-Baijuri dalam Hasyiahnya menyebut,
“Ketahuilah bahawa sifat ma’ani dari sudut ta’alluq[6] dan tiadanya, begitu juga umum ta’alluq bagi
wajib, harus dan mustahil dan khususnya dengan yang mumkinat atau
yang maujudat, terbahagi kepada 4:
- Yang
berta’alluq dengan mumkinat iaitu sifat qudrah dan iradah
tetapi ta’alluq bagi sifat yang pertama iaitu qudrah
adalah ta’alluq ijad (mengadakan) dan i’dam (mentiadakan).
Sedangkan ta’alluq yang kedua (sifat iradah) adalah ta’alluq
takhsis (menentukannya).
- Yang
berta’alluq dengan yang wajib, harus dan mustahil iaitu sifat ‘ilmu dan
kalam. Tetapi, ta’alluq bagi sifat yang pertama iaitu
ilmu adalah ta’alluq inkisyaf (terbuka). Sedangkan ta’alluq bagi
sifat yang kedua iaitu kalam ialah ta’alluq dalalah iaitu
petunjuk.
- Yang
berta’alluq dengan segala yang maujud iaitu sama’, basar dan juga (idrak)[7] jika ada yang berpendapat
demikian.
- Yang
berta’alluq dengan sesuatu iaitu
Mengetahui semua ta’alluq bukanlah
wajib ke atas mukallaf kerana ia termasuk daripada perkara yang rumit dalam
ilmu kalam sebagaimana yang dinukilkan Syeikh al-Barawi[8] daripada Sayyidi Muhammad al-Saghir
dan disebutkan oleh al-Syeikh al-Shanwani.[9]
Definisi Sifat Ma’nawiyyah
Kami nyatakan di sini beberapa takrif. Antaranya:
- Sifat ma’nawiyyah pula
adalah sifat-sifat yang wujud disebabkan adanya sifat ma’ani. Dengan
kata lain, sifat ma’nawiyyah adalah sifat yang wujud
kerana adanya sifat ma’ani.
- Juga
dikatakan sifat ma’nawiyyah merupakan nazariyyah
ahwal disisi Abi Hashim al-Mu’tazili.[10] Contohnya, apabila ada
sifat ‘ilm pada zat Allah, maka kesannya adalah keadaan
Allah yang bersifat dengan sifat berilmu (kaunuhu ‘aliman).
- Al-Baqillani
berkata: “Setiap sifat bagi yang maujud yang tidak bersifat dengan
wujud, maka ia adalah hal. Samada dari segi makna yang wajib itu daripada
yang mensyaratkan pada thabitnya hayah (hidup) atau yang tidak
disyaratkan, seperti contoh keadaan yang hidup itu adalah hidup. Lihat Nihayat
al-Iqdam, hal. 45.
- Mengikut
al-Iji, “Ia adalah perantara antara yang maujud dan tiada.” Lihat
al-Mawaqif, 1/279.
Menurut Imam al-Sanusi,
ثُمَّ سَبْعُ صِفَاتٍ تُسَمَّى
صِفَاتٍ مَعْنَوِيَّةً وَهِيَ مُلَازَمَةٌ لِلسَّبْعِ الْأُوْلَى
Maksudnya: “Kemudian 7 sifat yang dinamakan
sifat ma’nawiyyah yang melazimkan 7 sifat terawal (ma’ani).”
Sifat tersebut adalah kaunuhu qadiran (keadaan-Nya
yang Berkuasa), kaunuhu muridan (keadaan-Nya yang
Berkehendak), kaunuhu ‘aliman (keadaan-Nya yang
Mengetahui), kaunuhu hayyan (keadaan-Nya yang Hidup), kaunuhu
sami’an (keadaan-Nya yang Mendengar), kaunuhu basiran (keadaan-Nya
yang Melihat), kaunuhu mutakalliman (keadaan-Nya yang
Berkata-kata).
Perbezaan Antara Sifat Ma’ani dan
Ma’nawiyyah
Sifat ma’ani bukan zat Allah itu
sendiri tetapi ianya sifat yang berdiri dengan Zat-Nya. Oleh itu, ia dikenali
sebagai sifat Zat manakala sifat ma’nawiyyah pula adalah sifat
perbuatan yang keluar daripada Zat-Nya. Terdapat beberapa perbezaan antara
kedua sifat ini walaupun ada sebahagian ulama’ menyamakan sahaja antara
keduanya. Perbezaannya adalah:
- Sifat ma’ani adalah
usul dan sifat ma’nawiyyah adalah pecahan daripadanya.[11]
- Sifat ma’ani adalah
sebab (‘illah) dan sifat ma’nawiyyah adalah
kesan (ma’lul).
- Sifat ma’ani adalah
sifat yang ada pada Zat Allah yang sesuai dengan kesempurnaan-Nya.
Manakala sifat ma’nawiyyah sifat yang sentiasa tetap ada
pada Zat Allah dan tidak mungkin pada satu ketika, Allah SWT tidak
bersifat sedemikian
- Sifat ma’ani adalah
sifat wujudiyyah yang diterima pada akal zihin dan luarnya sedangkan
sifat ma’nawiyyah pula merupakan sifat yang thabit
diterima pada akal zihin dan tidak pada luarnya. Lihat Tahzib Syarh
al-Sanusiyyah, hal. 43.
Kami nyatakan di sini apa yang disebut oleh
al-Baijuri, “Ini kerana mengira bilangan sifat ma’nawiyyah sesungguhnya
seiringan mengikut pendapat yang menthabitkan ahwal iaitu sifat yang tiada
wujud dan tiada ada. Bahkan perantaraan antara wujud dan tiada.” Inilah
pandangan Imam al-Sanusi dalam al-Sughra yang berkata…”Yang terpilih di sisi
ahli tahqiq bahawa ia adalah bukan hal kerana sesungguhnya hal itu bersifat
mustahil.”[12]
Untuk contoh yang lebih mudah difahami, Allah
SWT mempunyai sifat Zat iaitu al-Rizq. Dengan sifat tersebut, Dia
memberi rezeki kepada seluruh alam. Perbuatan memberi itulah yang disifatkan
dengan sifat perbuatan iaitu al-Raziq (Maha Pemberi Rezeki).
Penutup
Kami berpendapat bahawa sifat ma’ani seperti
qudrah, lazim daripadanya atau mesti juga bersifat keadaan-Nya berqudrah
daripada sifat ma’nawiyyah. Dan yang thabit daripada sifat
yang berdiri dengan Zat ialah 7 sifat ma’anit. Adapun sifat ma’nawiyyah lebih
kepada ta’bir wujudnya sifat makna kepada Zat dan ramai tokoh
seperti al-Qadhi al-Baqillani[13] dan juga Imam al-Sanusi telah
mengira sifat ma’nawiyyah termasuk daripad Sifat 20 sekalipun
Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari Rahimahullah sendiri tidak mengiranya.
Sesungguhnya, kesemua apa yang dibahaskan di atas, tidak lain hanyalah
diambilnya sumbernya daripada al-Qur’an dan al-Hadis. Kami sedaya upaya
mempermudahkan perbahasan ini supaya dapat difahami oleh masyarakat awam dan
menjadi satu panduan serta ilmu yang bermanfaat dalam kehidupan kita selaku
umat Islam.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
Mufti Wilayah Persekutuan
______________________________
[1] Imam
al-Juwaini yang juga dikenali dengan nama Imam al-Haramain, mempunyai nama
lengkap Abu al-Ma'ali Abd al-Malik bin Abu Muhammad Abdullah bin Yusuf bin
Abdullah bin Yusuf bin Muhammad bin Hayyuyah al-Juwaini. Seorang ahli Usul dan
Fiqh yang bermazhab Syafie. Digelar Imam al-Haramain kerana beliau pernah
menetap di Mekah dan Madinah selama empat tahun untuk belajar, berfatwa dan
mengumpulkan metodologi-metodologi mazhab. Beliau dilahirkan pada tanggal 18
Muharram 419 H.
[6] Al-Sawi
berkata, “Ketahuilah sifat wujudiyyah terbahagi kepada dua; ada yang
berta’alluq dan ada yang tidak berta’alluq. Sifat yang berta’alluq membawa
kepada tambahan perkara pada qiyam pada tempatnya. Seperti
qudrah, ia membawa kepada yang dikuasainya. Lihat Syarah al-Sawi ‘ala
Jauharah al-Tauhid, hal. 194-195.
فَهلْ لَـهُ إِدْرَاكٌ أًوْ لاَ
خُلْـفُ وَعِنْـدَ قَـوْمٍ صَـحَّ فِيـهِ الْوَقْـفُ
Adakah bagi-Nya sifat idrak atau tidak,
menjadi khilaf.
Di sisi sebahagian ulama’ yang sahih
padanya adalah pendapat tawaqquf.
Antara yang mengithbatkannya adalah al-Qadhi
al-Baqillani dan Imam al-Haramain. Sedangkan pendapat yang bertawaqquf ialah
Abdullah bin Muhammad bin Ali al-Fihri al-Syafie, Ibn al-Tilmisani dan
sebahagian ulama muta’akhkhirin. Lihat Tuhfah al-Murid, hal.
135-136.
[8] Beliau
ialah Syeikh Isa bin Ahmad bin Isa al-Azhari, seorang ulama’ dan faqih
bermazhab Syafie yang unggul. Belajar di al-Azhar dan meninggal dunia pada
tahun 1182H. Antara karyanya Hasyiah ala Syarh Jauharah al-Tauhid. Lihat al-A’lam,
5/10.
[13] Nama
lengkapnya adalah Muhammad bin Thayyib bin Muhammad bin Ja'far bin al-Qasim,
yang lebih dikenal dengan al-Qadhi Abu Bakr al-Baqillani, di samping sebagai
mutakkalim, beliau juga ahli Usul Fiqh. Lahir di Basrah dan menetap di Baghdad.
Tahun kelahirannya tidak ada sumber yang pasti menyebutnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan