SESUNGGUHNYA anggota tubuh yang
diciptakan paling mulia dalam diri manusia ialah hati (kalbu). Allah SWT
berfirman yang bermaksud, "Dan Allah mengeluarkan kamu daripada perut
ibumu dalam keadaan tidak mengetahui sesuatupun dan Dia memberi kamu
pendengaran, penglihatan dan hati, agar kamu bersyukur." (Surah AnNahl,
ayat 78). Allah SWT menyebut tiga perkataan ini dalam Al-Quran sebanyak 132
kali yang menggambarkan kepentingannya kepada manusia.
Menerusi rancangan Islam itu Indah,
Ustaz Firdaus Subhi, berkata ulama tafsir menegaskan tiga perkataan, iaitu
pendengaran, penglihatan dan hati yang Allah sebutkan paling kerap dalam
al-Quran kerana ia adalah pintu kepada segala maklumat dan ilmu yang menyentuh
kehidupan manusia.
Melalui telinga Mukmin memperoleh
pelbagai maklumat dan pengetahuan untuk bertindak dengan setiap ilmu yang
didapati. Begitu juga dengan mata, Mukmin dapat melakukan perkara yang membawa
kebaikan kepadanya dan umat lain di muka bumi ini. Tidak kurang pula dengan
hati kerana kalbu memberikan Mukmin ketakwaan dan kecintaan kepada Allah SWT.
Dari hati juga, Allah SWT memberikan ilham kepada Mukmin membuat penilaian dan
perbezaan antara perkara baik dan buruk yang akan membezakan manusia dengan
makhluk Allah yang lain seperti haiwan.
Pelihara hati
Sesungguhnya hati ibarat raja bagi
anggota tubuh dan ketua dalam segala bentuk kehidupan manusia. Jika baik hati
itu, maka baiklah kehidupan seseorang Mukmin tetapi jika buruk atau rosak hati
itu, maka punah seluruh anggota tubuh dan kehidupan Mukmin. Memelihara hati
bukan seperti memelihara anggota badan yang lain, merawat hati perlu kepada
ketakwaan dan keampunan dari Allah SWT kerana hati yang selalu subur dengan
mengingati Allah akan sentiasa terpelihara oleh rahmat Allah SWT.
Apakah hati kita sihat atau
sebaliknya? Hati yang sihat atau sakit dapat dilihat melalui perbuatan dan
kata-kata seseorang mukmin. Orang yang hatinya subur dengan kebaikan terserlah
melalui akhlak yang indah dan disenangi orang sekeliling manakala Allah reda ke
atasnya. Orang yang hatinya bermasalah, kotor, sakit dan tidak bersih juga
diterjemah melalui perbuatan buruk, tidak beramal soleh bahkan tidak memberi
kebaikan kepada dirinya dan orang sekeliling.
Allah SWT berfirman yang bermaksud,
"Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati
mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang turun (kepada mereka) dan
janganlah mereka seperti orang yang sebelumnya diturunkan al-kitab kepadanya,
kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi
keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang yang fasik." (Surah
Al-Hadid, ayat 16)
Dekatkan diri dengan Al-Quran
Jelas, bagi hati yang keras, sungguh
banyak waktu yang dimiliki tetapi tidak disibukkan dengan mendekatkan diri
dengan ayat-ayat Allah. Bahkan, hati tidak terdidik dengan ilmu agama sehingga
menjadi keras dan menyebabkan hati menjadi hitam untuk menerima ilmu dan
kebaikan. Hati yang keras akan cenderung kepada perkara yang mengundang dosa,
perbuatan sia-sia dan mungkar.
Allah mengulangibanyak kali bagi mengingatkan kita
dalam Al-Quran bahawa bertapa celaka dan rugilah bagi orang Mukmin yang hatinya keras
untuk beramal soleh dengan amalan yang mendekatkan diri mereka dengan Allah.
Amatlah Berbeza dengan Mukmin yang hatinya
jernih dengan titik kebaikan, akan dengan mudah menerima ilmu dan taat akan agama
Allah. Orang yang hatinya bersih akan tersisih dari perkara yang dilarang
bahkan hanya terarah kepada perbuatan yang hanya mendatangkan pahala Allah SWT.
Setiap Mukmin perlu sentiasa
berusaha mencari jalan bagi mendidik dan merawat hati kerana hati yang sentiasa
dirawat dan disuburkan dengan amalan soleh mudah tunduk akan setiap perintah
Allah.
Bahkan hati yang lembut akan mudah
memperoleh ketenangan yang membuatkan dirinya menjadi hamba yang beramal soleh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan