Jumaat, 21 Februari 2020

SIFAT WAJIB ALLAH ITU TERBAHAGI 4


SIFAT WAJIB ALLAH ITU TERBAHAGI  4

Sifat-sifat Allah tidak terbilang banyaknya. Semua sifat Allah adalah maha sempurna lagi layak bagi sifat ketuhananNya. Sifat Allah yang wajib diketahui dan dikenal ada 20 sifat.

Sifat wajib yang 20 ini terbagi kepada 4 iaitu:-

                    1) Sifat Nafsiah
                    2) Sifat Salbiah
                    3) Sifat Ma'ani
                    4) Sifat Ma'nawiyah


Sifat Nafsiah

Sifat nafsiah merujuk kepada Diri (Zat) Allah. Sifat nafsiah ada 1 sahaja iaitu sifat  Wujud.

Sifat wujud merujuk kepada Diri (Zat) Allah yang ada. Zat Allah itu ghaib dan tidak boleh dilihat makhluk hingga ke akhirat. Hanya ahli Syurga sahaja yang akan dapat  melihat Allah dengan mata sendiri. Inilah nikmat terbesar yang dijanjikan Allah untuk hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Zat Allah yang ghaib itu wujud. Dikatakan bahawa sifat nafsiah ini tidak maujud (tidak ada) pada mata iaitu tidak dapat dilihat mata kasar. Namum ia maujud (ada) pada akal iaitu akal dapat menerima bahawa Zat Allah itu wujud. Jika Allah tidak wujud ertinya Allah itu bersifat adam (tiada). Ini adalah mustahil pada akal kerana tidak mungkin alam terjadi tanpa ada yang menjadikannnya. Yang menjadikan alam ialah Allah. Maka logik akal menerima Diri Allah itu wujud.


Sifat Salbiah

Sifat Salbiah menolak atau menafikan sifat-sifat yang tidak layak pada Diri Allah. Sifat salbiah ada 5 :-

                    1) Qidam - sedia ada
                    2) Baqa' - kekal
                    3) Mukhalafatuhu lil hawadits - tidak sama dengan yang baharu
                    4) Kiamuhu binafsi - berdiri dengan sendirinya
                    5) Wahdania - esa


Sifat salbiah itu tidak maujud (tidak ada) pada mata ertinya tidak dapat dilihat kesannya dengan mata kasar. Sifat Salbiah juga tidak maujud (tidak ada) pada akal ertinya tidak dapat difahami dan difikirkan akal.


Qidam

Allah sedia adanya. Allah tidak ada permulaan. Allah tidak dijadikan. Allah tidak dari sesuatu. Sifat qidam menafikan dan menolak bahawa Allah itu ada permulaan (dari tidak ada menjadi ada) atau Allah dijadikan dari sesuatu.

Baqa'

Allah adalah kekal. Allah tidak berubah. Allah tidak akan musnah. Sifat baqa' menafikan dan menolak bahawa Allah itu berubah iaitu dari tiada menjadi ada, atau dari kecil menjadi besar, atau dari muda menjadi tua dan seterusnya. Sifat baqa' juga menolak Allah ada kesudahannya (musnah). Allah tidak berubah maka Allah akan kekal berterusan tanpa awal tanpa akhir.

Mukhlafatuhu lil hawadits

Allah tidak bersifat baharu. Sifat baharu adalah sifat alam (makhluk). Allah tidak sama dengan makhluk. Maka sifat mukhalafatuhu lil hawadits menafikan dan menolak bahawa Allah bersifat sama dengan makhluk (alam).

Kiamuhu binafsi

Allah berdiri dengan sendirinya bererti Allah tidak perlu kepada sesuatu. Allah tidak perlu kepada tempat. Allah tidak perlu kepada masa. Segala sesuatu adalah ciptaan Allah. Allah tidak perlu kepada apa yang diciptakanNya. Sifat kiamuhu binafsi menafikan dan menolak bahawa Allah perlu kepada sesuatu.

Wahdania

Allah itu esa atau tunggal. Tidak ada yang sama seperti Allah. Sifat wahdania menafikan dan menolak bahawa ada yang lain yang sama seperti Allah.

Sifat-sifat salbiah yang 5 ini tidak memberi kesan pada alam maka mata makhluk tidak dapat melihatnya. Sifat-sifat salbiah yang 5 ini tidak ada (mustahil ada) pada makhluk (alam). Sesuatu yang mustahil ada pada alam tidak akan dapat difikirkan akal kerana akal adalah alam. Akal tidak dapat berfikir sesuatu yang di luar alam.

Sifat Ma'ani

Sifat ma'ani ialah sifat-sifat Allah yang maujud (ada) pada mata dan maujud (ada) pada akal. Ertinya sifat-sifat ma'ani dapat dilihat oleh mata kesan-kesannya di alam ini dan dapat difikirkan dan diterima akal. Sifat-sifat ma'ani ada 7 iaitu:-

                    1) Qudrah - berkuasa
                    2) Iradah - berkehendak
                    3) Ilmu - mengetahui
                    4) Hayat - hidup
                    5) Sama' - mendengar
                    6) Basar - melihat
                    7) kalam - berkata-kata


Kejadian pada alam ini adalah tanda atau kesan dari sifat-sifat ma'ani yang 7. Adanya alam ini adalah tanda kekuasan Allah. Allah berkuasa melakukan apa yang dikehedakiNya. Menjadikan alam adalah kehendak Allah. Alam dapat dlihat oleh sekelian manusia.


Kehebatan ciptaan alam adalah tanda bahawa ia dijadikan oleh yang maha tinggi ilmu pengetahuannya. Yang menjadikan alam tentunya hidup mustahil mati. Segala bunyi-bunyian dan berbagai jenis suara adalah tanda yang mencipta bunyi dan suara itu adalah maha mendengar kerana mustahil bagi yang tidak boleh mendengar dapat mencipta bunyi dan suara yang tidak terbatas bilangannya. Segala rupa bentuk dan warna-warni pada alam adalah tanda yang menjadikan alam adalah maha melihat kerana yang tidak boleh melihat mustahil boleh mencipta bentuk dan warna yang tidak terbilang banyaknya.


Alam sentiada bergerak dengan tepat dan jitu. Setiap hari matahari akan terbit dari timur dan terbenam di arah barat. Siang dan malam silih berganti tanpa henti. Awan menurunkan  hujan. Bumi dan lautan mengeluarkan berbagai jenis makanan untuk manusia. Dan berbagai lagi kejadian yang sentiasa berlaku di sekeliling kita tanpa kita sedari. Ini semua adalah tanda sifat kalam Allah itu Allah sentiasa berkata-kata (mengeluarkan perintah) kepada alam supaya berfungsi dan bergerak dengan taat.


Tanda-tanda alam ini adalah kesan dari sifat-sifat ma'ani Allah yang 7. Ia dapat dilihat dengan terang dan jelas oleh mata dan akal juga dapat menerima sifat-sifat ma'ani kerana mustahil bagi yang mencipta alam tidak berkuasa, tidak berkehendak, tidak ada ilmu, tidak hidup, tidak mendengar, tidak melihat dan tidak berkata-kata.


Sifat Ma'nawiyah

Sifat ma'nawiyah ialah sifat yang menegaskan sifat-sifat ma'ani ada pada Diri (Zat) Allah bukan pada pacaindera atau perantaraan. Maka apabila dikatakan Allah itu melihat ertinya yang melihat adalah Diri Allah bukan mata Allah. Diri Allah yang mendengar bukan telinga Allah. Diri Allah yang berkata-kata bukan lidah atau suara Allah.

Diri Allah yang berkendak dan Diri Allah yang berkuasa untuk melaksanakan kehendakNya tanpa perlu kepada sesuatu pertolongan atau perantaraan. Diri Allah hidup tanpa perlu kepada pernafasan dan tidak perlu makan dan minum. Diri Allah mengetahui setiap sesuatu tanpa perlu kepada ilmu pengetahuan.

Sifat ma'nawiyah adalah sifat-sifat Diri (Zat) Allah. Diri Allah adalah ghaib dan tidak dapat dilihat mata. Maka sifat ma'nawiyah tidak maujud (tidak ada) ada pada mata ertinya tidak boleh dilihat mata tetapi ia maujud pada akal iaitu ia dapat diterima akal.

Sifat ma'nawiyah ada 7 iaitu:-

                    1) Kaunuhu Qadiran - keadaan Diri Allah Berkuasa
                    2) Kaunuhu Muridan - keadaan Diri Allah Berkehendak
                    3) Kaunuhu Aliman - keadaan Diri Allah Mengetahui
                    4) Kaunuhu Haiyan - keadaan Diri Allah Hidup
                    5) Kaunuhu Sami'an - keadaan Diri Allah Mendengar
                    6) Kaunuhu Basiran - keadaan Diri Allah Melihat
                    7) Kaunuhu Mutakaliman - keadaan Diri Allah Berkata-kata

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MENERAJUI KESEJAHTERAAN SELANGOR