Pengertian khianat membawa maksud perbuatan jahat yang bertujuan menganiaya
atau mendatangkan kecelakaan pada orang lain, tipu daya, perbuatan belot atau
tidak setia.[1] Semuanya menjurus ke arah perbuatan
negatif dan perlu dijadikan sempadan oleh manusia. Perbuatan khianat ini boleh
memberi kesan kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu
ataupun organisasi. Keamanan dan perpaduan yang kukuh pasti akan runtuh apabila
terdapat sebarang bentuk khianat dalam masyarakatnya.
Perbuatan
khianat kepada orang lain juga sebenarnya adalah perbuatan mengkhianati dirinya
sendiri kerana kesan buruk pengkhianatan itu akan dirasakan oleh orang lain
yang berkaitan. Di sisi lain pula menunjukkan bahawa sebagai masyarakat
seharusnya dianggap seperti satu jasad, setiap keburukan yang dialami oleh
orang lain harus dirasakan juga seperti sesuatu yang menimpa ke atas diri
sendiri.
Dalil dan Perbahasan Ulama.
Firman
Allah swt dalam surah al-Hajj ayat 38 yang bermaksud, “Sesungguhnya
Allah membela orang-orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”[2]
Sayyid
Quthub menerangkan bahawa sifat dan sikap khianat mereka (kaum musyrikin)
menjadikan Allah membenci orang-orang kafir yang mengkhianati amanat keagamaan
lagi tidak mensyukuri nikmatNya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai kaum
musyrikin Mekkah dan setiap pengkhianat yang kufur nikmat walau di mana pun
mereka berada.[3]
Setelah
Allah melarang perbuatan khianat dan membela orang-orang yang melakukan
perbuatan khianat, maka ayat ini melarang pula berdebat dan membela orang-orang
yang khianat. Firman Allah swt yang bermaksud: “Dan janganlah engkau
berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah
tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.”
(Surah an-Nisa’: 107)
Dan
janganlah engkau, wahai Muhammad demikian juga umatmu, berdebat untuk membela
orang-orang yang sengaja lagi tekun dan terus-menerus mengkhianati dirinya.
Ayat ini merupakan ancaman yang cukup serius terhadap orang yang berkhianat.
Mengapa tidak, Rasulullah saw yang demikian tinggi kedudukan baginda di sisi
Allah dan yang dalam kehidupan sehariannya terlihat dengan jelas melaksanakan
hak dan menjauhi khianat, walaupun demikian tetap diberi peringatan. Maka
bagaimana dengan selain baginda dan bagaimana pula dengan yang mengetahui
kebenaran tetapi menyembunyikannya serta membantu kebatilan?[4]
Antara
peringatan lain yang berbentuk ancaman kepada orang yang melakukan khianat
ialah pengkhianatannya akan diketahui oleh orang lain di akhirat kelak melalui
pengibaran panji yang besar tertulis kisah pengkhianatan mereka di atas badan
mereka berdasarkan hadis Nabi saw yang bermaksud:
Dari
Ibnu Mas’ud, Ibnu Umar dan Anas ra, mereka berkata, Nabi saw bersabda, “Setiap
pengkhianat nanti pada hari kiamat mempunyai sebuah bendera yang bertuliskan,
‘Inilah pengkhianatan fulan.”[5]
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Sejarah dan Peristiwa.
Sejarah
awal perkembangan Islam telah mendapati banyak siri pengkhianatan yang
dilakukan oleh orang-orang Yahudi. Orang-orang yahudi yang telah diberi tempat
terhormat dalam Konstitusi Madinah, akhirnya, satu persatu berkhianat. Bermula
dengan Bani Qainuqa yang enggan ikut berperang sepertimana yang telah mereka
janjikan dengan menggunakan alasan waktu berperang jatuh pada hari sabtu.
Oleh
sebab keengganan mereka, maka Nabi saw menghukum mereka setimpal dengan
pengkhianatan mereka iaitu mengeluarkan mereka daripada kota Madinah dengan
bebas membawa apa sahaja yang diinginkan.
Kemudian
giliran bani Nadir yang melakukan khianat dan pengkhianatan mereka lebih berat
daripada apa yang dilakukan oleh bani Qainuqa, hukuman mereka ialah diusir dari
Madinah tanpa membawa harta benda. Dan yang paling mengerikan dan mencemaskan
ialah nasib bani Quraizhah.
Pada
waktu itu sebelum berlakunya perang Ahzab iaitu serangan pakatan suku-suku Arab
pimpinan Quraish Makkah ke Madinah. Setelah mendengar perkhabaran itu, Nabi saw
bermusyawarah dengan para sahabat dan telah menerima usul seorang berbangsa
Parsi, Salman al-Farisi yang mempunyai pengalaman dalam peperangan. Beliau
mengusulkan supaya membuat parit di sekitar kota.
Peperangan
kali ini telah membuatkan pihak kafir Quraish bingung untuk menyerang kerana
pertama kali berhadapan taktik sebegini dan akhirnya hanya mengepung kota
Madinah selama hampir satu bulan. Dalam keadaan terkepung rapat seperti itu,
persedian air tentu sahaja perlu, tiba-tiba bani Quraizhah menunjukkan indikasi
berkhianat. Mereka rupanya berpendapat bahawa inilah permulaan kehancuran Islam
dan oleh kerana itu mereka mengambil kesempatan dengan memihak kepada pihak
yang akan menang. Secara sembunyi mereka membina hubungan dengan pakatan
pimpinan orang-orang Quraish.
Akan
tetapi, berita tersebut telah sampai kepada Nabi sehingga baginda memerintahkan
beberapa sahabat untuk meneliti kebenarannya dengan berpesan jika khabar itu
ternyata benar, maka rahsiakan dan jika salah maka sebarkan. Hal ini adalah
kerangka perang saraf dengan pasukan sekutu bahawa bani Quraizah tidak berbuat
khianat. Tetapi setelah diselidiki maka ternyata benar pengkhianatan tersebut.
Berkat pertolongan Allah swt, perang Ahzab berakhir dengan kegagalan sekutu,
iaitu terjadinya taufan yang menghancurkan perkhemahan mereka di sekitar
Madinah dan selamatlah masyarakat Madinah pimpinan Nabi.
Masalah
pengkhianatan bani Quraizah kemudian diputuskan oleh hakim yang telah dipilih.
Mereka memilih seorang muslim bekas anggota bani Quraizah dengan harapan orang
tersebut akan simpati kepada suku asalnya. Tetapi ternyata sangkaan mereka
meleset, mereka semua kaum lelaki bani Quraizah harus dibunuh, isteri-isteri
dan anak-anak mereka dijadikan hamba dan dijual.[6]
Bentuk Ancaman.
1.
Antara
perbuatan yang tidak disukai Allah swt dan tiada limpah rahmat kasih sayang
kepada mereka.
2.
Tertulis
setiap perbuatan khianat mereka di atas bendera yang di pegang sendiri agar
dapat dilihat ketika di padang masyhar kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan