Ahad, 19 Jun 2022

INNA LILLAHI WAINNA ILAIHIROJIUUN

 












Penunggang motosikal maut langgar kayu getah jatuh atas jalan


KUALA SELANGOR – Seorang pekerja restoran makanan segera maut selepas melanggar kayu getah yang terjatuh dari sebuah treler di Kilometer 37 Jalan Klang-Teluk Intan di sini, hari ini.


Kemalangan pukul 4.30 pagi itu berlaku ketika lelaki berusia 22 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda.


Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, siasatan mendapati muatan kayu getah sebuah treler yang dipandu lelaki berusia 40 tahun terjatuh di jalan berkenaan.


“Mangsa yang menunggang bersendirian dipercayai gagal mengelak beberapa batang kayu itu sebelum melanggarnya menyebabkan dia terjatuh atas jalan raya.


“Penunggang motosikal yang cedera parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.


Jelas Ramli, pemandu treler tidak mengalami kecederaan dan mayat mangsa dihantar ke hospital berdekatan bagi proses bedah siasat.


Sementara itu, sepasukan enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor bergegas ke lokasi bagi membersihkan kayu berkenaan pukul 5.17 pagi.


Longgokan kayu yang terjatuh itu menghalang lalu lintas di jalan tersebut dan berjaya dibersihkan dengan menggunakan jengkaut. -KOSMO!ONLINE


Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

19 Jun 2022, 6:28 pm

Gambar Bomba


#Kosmo

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

MENERAJUI KESEJAHTERAAN SELANGOR