Menanti Kehadiran Malam Lailatul Qadar
Terdapat perbezaan pendapat tentang status surah al-Qadr
samada Makkiyyah atau Madniyyah. Ada pendapat menyatakan ia adalah surah
pertama diturunkan di Madinah. Dalam kitab al-Itqan memilih pendapat yang
menyatakan ia adalah makkiyyah. Maksud diturunkan adalah untuk menzahirkan
al-Quran dari alam ghaib kepada dunia syahadah.
Dalam surah al-Qadr menegaskan bahawa al-Quran telah
diturunkan dari Luh Mahfuz atau dari langit yang tertinggi (Jami al-Bayan, J.
15, hlm. 258) ke langit dunia iaitu Baitul Izzah pada malam Lailatul Qadar (Ruh
al-Maani, J. 10, hlm. 198). Ini ditegaskan lagi dengan sebuah hadis daripada
Ibn Abbas yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan kesemua sekali pada malam
Lailatul Qadar pada bulan Ramadhan ke langit dunia (Jami al-Bayan, J. 15, hlm.
258).
Menurut Hamka, Lailatul Qadar memberi dua maksud, pertama;
kemuliaan kerana setengah dari erti qadr itu ialah kemuliaan; kedua bermaksud
penentuan kerana pada waktu itulah mulai ditentukan langkah yang akan ditempuhi
oleh Rasulullah s.a.w didalam memberi pertunjuk kepada umat manusia. Kalau
dipakai erti kemuliaan, maka mulai pada malam itulah kemuliaan tertinggi
dianugerahkan kepada nabi Muhammad s.a.w kerana itulah permulaan Malaikat
Jibril menyatakan dirinya dihadapan baginda didalam gua Hira’. Pada malam itu
perikemanusiaan diberi kemuliaan dikeluarkan dari zulumat/kegelapan kepada
nur/cahaya petunjuk Allah.
Jika diberi erti penentuan bermaksud dimalam itu dimulai
menentukan garis pemisah diantara kufur dengan iman, jahiliyah dengan Islam,
syirik dengan tauhid. Dan penjelasan tersebut menunjukkan bahawa malam itu
adalah malam yang istimewa berbanding dari segala malam (Hamka, J. 10, hlm.
8068). Malam yang membawa lembaran baru, turun wahyu ke dunia setelah terputus
sekian lama.
Terdapat beberapa pendapat tentang peristiwa Lailatul Qadar
samada ia berlaku sekali atau datang pada setiap Ramadhan. Menurut Ibn Umar,
Lailatul Qadar berlaku pada setiap Ramadhan (Jami al-‘Bayan, hlm. 209).
Pendapat yang lain dari setengah ulama ada menyatakan Lailatul Qadar berlaku
sekali sahaja iaitu ketika al-Quran mulai diturunkan pertama kali. Adapun
Lailatul Qadar yang kita peringati dan berusaha memperbanyakkan amal ibadat
pada malam-malam di bulan Ramadhan adalah untuk memperteguh ingatan kita kepada
peristiwa turunnya al-Quran. Kita hidupkan malam itu dengan mengambil berkat dan
memperbanyakkan syukur kepada Allah s.w.t. Berdiri mengerjakan terawih dan
qiamullail di bulan Ramadhan adalah bertepatan dengan malam turunnya al-Quran
(Hamka, hlm. 8071).
Menurut Syeikh Yusuf Amrullah, bapa Hamka, berpegang dengan
pendapat al-Hafiz Ibn Hajar menyatakan bahawa Lailatul Qadar yang sebenar hanya
sekali iaitu malam mula-mula al-Quran diturunkan. Yang kita buat amal ibadat
didalam bulan puasa adalah mengingati Lailatul Qadar itu ialah memperingati dan
memuliakan malam al-Quran diturunkan. Kita ingati setiap tahun agar kita
bertambah teguh memegang segala yang diturunkan Allah didalam al-Quran.
Hari kebesaran dalam Islam banyak yang diperingati dan
menjadi amal ibadat seperti berpuasa pada 10 Muharam atau Asyura kerana
mengenangkan beberapa kejadian pada Nabi-nabi yang terdahulu pada tarikh
tersebut. Begitu juga dalam manasik haji telah dikatikan dengan kejadian zaman
lampau seperti Saci antara Bukit Safa dan Marwah, mengenangkan betapa sulitnya
Hajar mencari air untuk anaknya, Ismail di lembah yang tidak ada
tumbuh-tumbuhan. Kita juga disunatkan melontar Jamrah bagi memperingati
perdayaan syaitan kepada nabi Ibrahim kerana akan menyembelih puteranya Ismail
atas perintah Allah. Apabila dikaitkan dengan menghidupkan malam Lailatul Qadar
dapatlah diambil kesimpulan bahawa kesemua ibadat tersebut mempunyai tujuan
yang sama iaitu untuk membesarkan syiar Allah dan menambah taqwa dalam diri.
Terdapat berbagai cerita mengenai tanda malam Lailatul Qadar
iaitu dapat disaksikan kejadian yang ganjil-ganjil seperti air berhenti
mengalir, pohon kayu tunduk rukuk ke bumi dan sebagainya. Menurut Hamka
semuanya ini adalah perkara yang tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu
agama yang sebenarnya.
Terdapat beberapa hadis yang menceritakan tentang berlakunya
Lailatul Qadar dan ia tetap berlaku atau berulang pada setiap bulan Ramadhan,
cuma tidak dapat dipastikan secara tepat malam yang keberapa ia berlaku.
Perbincangan panjang lebar diantara ahli-ahli Hadis,
mengenai dengan malam apakah yang tepat Lailatul Qadar itu berlaku. Dalam kitab
“Fath al-Basri” menurunkan tidak kurang dari 45 qaul tentang malam terjadinya
Lailatul Qadar, masing-masing menurut pengalaman dengan catatan Ulama-ulama
yang merawikannya, sejak dari malam 1 Ramadhan sampai 29 atau malam 30 Ramadhan.
Semuanya dinukilkan oleh as-Syaukani di dalam `Nailul-Authar’nya.
Oleh sebab itu dianjurkanlah supaya setiap malam bulan
Ramdhan diisikan penuh dengan ibadat. Bagaimanapun terdapat juga riwayat yang
kuat menyatakan bahawa Lailatul Qadar itu ialah pada malam sepuluh yang akhir
dari Ramadhan ertinya sejak malam 21, kerana sejak malam 21 itu nabi s.a.w
lebih memperkuat ibadatnya daripada malam-malam yang sebelumnya sampai beliau
bangunkan kaum keluarganya yang tertidur.
Abdullah bin Mas`ud dan asy-Sya`bi dan al-Hasan dan Qatadah
berpendapat bahawa malam itu ialah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka ialah
kerana ada hadis yang menyatakan bahawa al-Quran diturunkan pada 24 Ramadhan.
Satu riwayat lagi menyatakan jatuhnya ialah pada 17
Ramadhan. Orang yang berpegang pada 17 Ramadhan ini mengambil istimbath
daripada ayat 41 dari surah an-Anfal kerana di sana tersebut bermaksud;
“ …… dan apa yang Kami turunkan kepada Hamba Kami pada
Pemisahan hari bertemu dua golongan”
`Hari bertemu dua golongan’ ialah dalam peperangan Badar,
pada 17 Ramadhan sedang `hari pemisahan’ ialah hari turunnya al-Quran yang
pertama yang disebut juga malam yang diberi berkat sebagaimana tersebut didalam
surah 44 ad-Dukhan. Maka oleh kerana berhadapan dua golongan di Perang Badar
itu, golongan Islam dan golongan Musyrikin terjadi pada 17 Ramadhan, mereka
menguatkan bahawa Lailatul Qadar mulai turunnya al-Quran di gua Hira ialah 17
Ramadhan pula meskipun jarak waktunya adalah 15 tahun.
Banyak hadis-hadis yang menyatakan Lailatul Qadar berlaku
pada malam yang ganjil sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan (Ruh al-Maani,
hlm. 191), dan ada pendapat hadis yang menetapkan pada malam 27.
Ada diceritakan terdapat dikalangan sahabat Rasulullah
merasa hairan dengan cerita seorang lelaki dari bani Israel beribadat sepanjang
malam kemudian berjihad menentang musuh diwaktu siang dan melakukannya selama
seribu bulan. Dalam cerita lain menyatakan seramai empat orang dari bani Israel
beribadat kepada Tuhan selama delapan puluh tahun dan mereka tidak melakukan
maksiat atau keingkaran. Datang Jibrail kepada nabi bertanyakan samada umatnya
hairan dengan ibadat mereka itu. Allah telah menurunkan yang lebih baik dari
itu, lalu dibaca surah al-Qadr. Dinyatakan juga bahawa pemerintah nabi Sulaiman
dan Zulqarnain selama lima ratus bulan. Maka Tuhan jadikan amalan pada malam
Lailatul Qadar (bagi mereka yang mendapatnya) lebih dari tempoh kedua
pemerintahan tersebut dan lebih baik dari seribu malam amalan lelaki bani
Israel itu.
Dalam tafsir Ruh al-Maani ada dinyatakan setengah ulama
al-Shafie berpendapat ada beberapa malam yang istimewa iaitu malam yang paling
afdal ialah malam kelahiran-kelahiran nabi Muhammas s.a.w. Kemudian diikuti
dengan malam Lailatul Qadar kemudian malam Irsa’ dan Micraj, malam Arafah,
malam Jumaat, malam Nisfu Syaaban dan kemudiannya malam raya (hlm. 194).
Mengikut Anas daripada nabi menyatakan bahawa Allah s.w.t
telah menganugerahkan kepada umatku (Muhammad) Lailatul Qadar dan tidak
diberikan kepada umat sebelumnya.
Keistimewaan lain yang berlaku pada malam Lailatul Qadar
dinyatakan dalam ayat 4 yang menjelaskan bahawa malaikat dan roh turun pada
malam itu dengan keizinan Tuhan. Yang dimaksudkan dengan `roh’ ialah malaikat
Jibrail dan ini pendapat jumhur ulama. Ia disebut secara khusus kerana kemuliannya.
Ada pendapat lain menyatakan nabi Isa a.s turun untuk melihat umat dan
menziarahi nabi Muhammas s.a.w. Ada juga pendapat menyatakan roh-roh orang yang
mukmin turun untuk menziarahi keluarga-keluarga mereka. Ada pendapat satu lagi
mentafsirkan kepada `Rahmat’ dari Allah.
Malaikat turun dari martabat mereka yang tinggi yang sebok
dengan urusan Allah s.w.t untuk mengucap `salam’ kepada orang mukmin. Oleh
kerana mereka ramai, antara mereka turun secara kumpulan, ada yang turun dan
ada yang naik semula. Oleh kerana kejadian mereka adalah dari nur atau cahaya
maka tidaklah timbul masalah kesesakan. Para malaikat yang ramai itu pergi
mengunjungi tempat kdiaman orang mukmin, kecuali rumah yang terdapat didalamnya
anjing, khinzir, arak dan patung. Mereka megucup tasbih dan memohon keampunan
bagi umat Muhammad s.a.w sehinggalah sampai waktu fajar barulah mereka naik
semula ke langit. Melihat ini bertasbih memuji Allah s.w.t justeru syukur
mereka kepada Allah yang telah melimpahkan keampunan kepada umat Muhammad
s.a.w.
Pada malam tersebut Allah s.w.t telah melipatgandakan
rahmatnya kepada seluruh orang mukmin samada yang masih hidup ataupun juga kepada yang telah mati. Betapa pemurahnya
Allah kepada hambaNya.
Seandainya kita
mengamati hadis dari Anas bin Malik yang menyatakan, barangsiapa yang
menunaikan solat maghrib dan isya’ berjamaah sepanjang bulan Ramadhan
sesungguhnya dia telah mendapat sebahagian dari Lailatul Qadar.Ini bermaksud bukanlah menjadi suatu yang amat sukar untuk kita mendapatkan
sebahagian dari malam Lailatul Qadar. Yang penting kita tidak mengabaikan
mana-mana malam pun di bulan Ramadhan melainkan
ianya disi dengan melakukan ibadat dan
paling minimum pun, dengan melaksanakan
solat berjamaah pada waktu
maghrib dan isya’.
Malam Lailatul Qadar adalah malam yang sejahtera dan selamat
dari segala kejahatan dari awal malam sehinggalah terbit fajar. Memberi erti
kebaikan menyelubungi sepanjang malam Lailatul Qadar. Tentulah hampa bagi
mereka yang lalai yang tidak ambil berat tentang malam Lailatul Qadar, namun ia
tetap datang disetiap bulan Ramadhan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan