Peristiwa Israk dan Mikraj dan Ibrah Yang Perlu di Ambil dan DiHayati
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Selawat serta
salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W. keluarga serta para sahabat dan
pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Setiap tahun apabila sampai tanggal 27 Rejab umat Islam
di seluruh dunia akan mengadakan majlis sambutan memperingati peristiwa Israk dan Mikraj.
Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum berlakunya Hijrah Rasulullah SAW
dari Mekkah ke Madinah.
Apabila membicarakan tentang peristiwa Israk dan Mikraj ini, pastinya kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah S.A.W bersama
malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan kepada dua fasa.
01.Israk yakni perjalanan Nabi SAW menaiki binatang Buraq
dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis, Palestin.
02.Mikraj ialah perjalanan dari Masjidil Aqsa ke Sidratil
Muntaha di langit yang ketujuh.
Perjalanan Rasulullah S.A.W ini telah diabadikan oleh Allah
S.W.T di dalam Al-Quran, Surah Al-Isra’ ayat 1 yang bermaksud;
“Maha Suci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada
suatu malam dari Al Masjidilharam ke Al Masjidilaqsa yang telah Kami berkahi
sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda
(kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.”
Menariknya, keseluruhan perjalanan Rasulullah S.A.W hanya
berlangsung pada satu malam.
Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama tafsir secara umum
menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana kedua-duanya berlaku
dalam satu malam dan dalam keadaan baginda SAW sedar. Ia berlaku pada jasad
atau tubuh dan roh Nabi SAW bukannya roh sahaja. Sebagaimana difahami daripada
firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah menegaskan “asra bi ‘abdihi lailan”
yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam. Perkataan hamba yang
dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad S.A.W yang mana meliputi batang tubuh
dan rohnya serentak bukannya rohnya sahaja. Jika ia berlaku pada rohnya sahaja
maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra bi rohi ‘abdihi lailan” yang
bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya pada waktu malam tetapi yang berlaku
sebaliknya di mana Allah secara jelas menyatakan bahawa Dia telah
memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi SAW dalam keadaan tubuh dan rohnya
serentak.
Peristiwa ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau
mereka yang tipis imannya, mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin
akan berlaku atau pun mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau
pun sebaliknya. Tetapi bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan
rasul-Nya maka mereka tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah baginda S.A.W menceritakan apa yang telah terjadi
padanya kepada masyarakat umum maka orang-orang kafir bertambah kuat mengejek
dan mendustakan baginda S.A.W. Fitnah terhadap baginda S.A.W bertambah kuat
malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk Islam telah
pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan baginda S.A.W
maka iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu
Bakar apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah
diberitahu oleh Nabi S.A.W lalu beliau dengan tegas menyatakan :
“Benar! Aku menyaksikan bahawa engkau merupakan Rasulullah.
Jika baginda S.A.W mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh
daripada itu maka aku tetap beriman kepadanya”. Inilah ketegasan dan keyakinan
yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam mempercayai Allah dan
rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa maksud pembenar.
Selain itu, pernah juga diriwayatkan Rasulullah S.A.W
berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut.
Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh
para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat
roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa
masyarakat Islam.
Sahabat yang dimuliakan,
Sebelum berlakunya Israk dan Mikraj Rasulullah S.A.W
mengalami pembedahan dada/perut oleh malaikat. Hati Baginda S.A.W dicuci dengan
air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan
waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman ke dalam dada Rasulullah
S.A.W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.
Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh
Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
Semasa Israk ( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke
Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu
(tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail
supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat.
Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
01.Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan
melakukan hijrah,
02.Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu
daripada Allah,
03.Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A.S. dilahirkan),
Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W
menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib.
Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
01.Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman
mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum
lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh
Jibrail: Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala
kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
02.Tempat yang berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh
Jibrail : Itulah bau kubur Masitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama
suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan
iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah
(tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).
03.Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap
kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian
dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang
berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).
04.Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka
(qubul dan dubur) dengan secebeis kain. Mereka dihalau seperti binatang
ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail :
Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.
05.Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging
mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail:
Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan
itu masing-masing mempunyai isteri/suami.
06.Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan
batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba.
07.Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya
memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak
dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.
08.Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka
dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir
mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah
dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.
09.Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku
tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia
(mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.
10.Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang
sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang
yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.
11.Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan
pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah
dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan
mengutamakan dunia daripada akhirat.
12.Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh
Rasulullah berhenti. Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail:
Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua.
13.Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua
dan menanti saat hari kiamat.
Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada
Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat
dengan segala anbia dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua
bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah S.A.W memilih susu lalu
diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu
dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.
Semasa Mikraj ( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T
);
Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga.
Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke
pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke
langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat
orang-orang yang makan riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang
rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada
susu penzina perempuan.
Di Langit Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit
yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi
Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu
dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan
Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan
Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala
(disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai,
termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk
langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang
bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa kaumnya. Kepada Rasulullah
S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada
malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dhaif, maka berdoalah untuk
umatmu.
Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA
QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda,
“Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya,
tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH,
WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA
QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah
ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”.
Setelah melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib.
Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang
(Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).
Di Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang
berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan
pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu,
sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya
berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah.
Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia.
Baginda Rasulullah S.A.W dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus
masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta
dengan Malik penunggunya.
Di Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok
Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di
Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT
dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah
dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT : Ya Muhammad.
Rasulullah : Labbaika.
Allah SWT : Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami
perkenankan.
Rasulullah : Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai
Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan
Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi.
Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada
sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin.
Engkau ajarkan Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan
orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan
ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T : Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu
sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan
buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan
keistimewaan kepadamu pada hari kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah
Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu
ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah
‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar
makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan
semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu
lima puluh (waktu) sembahyang.
Selesai munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi
Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W
merayu kepada Allah S.W.T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu
sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima
waktu), akhirnya Allah perkenan memfardukan sembahyang lima waktu sehari
semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
Selepas Mikraj:
Rasulullah S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya
turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada
malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa
yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat
ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27
Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.
(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa’id)
Sahabat yang dikasihi,
Kesimpulannya, Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya
sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab
menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik
peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang
tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian
aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar
sentiasa mengingati Allah S.W.T dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari
dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada
melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk
menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).
Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak
mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada
mereka.
Peristiwa Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat
yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu
Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada
Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.
Dengan kita mendengar dan menghayati kisah dan cerita yang
berlaku di dalam peristiwa Israk dan Mikraj kita perlu ambil ikhtibar dan yakin
bahawa bumi Baitulmaqdis Palestin yang menjadi tempat bermulanya Mikraj Nabi
SAW adalah bumi penuh berkah dan terdapat Masjidil Aqsa (kiblat pertama umat
Islam)
Baitulmaqdis dan Masjidil Aqsa adalah harta umat Islam yang
telah dirampas oleh Zionis Yahudi laknatullah. Umat Islam perlu berusaha,
berkorban dan berdoa semoga tempat suci umat Islam ini dapat dipulangkan
kembali kepada pangkuan umat Islam. Peristiwa Israk dan Mikraj akan lebih bermakna
apabila umat Islam seluruhnya dapat membantu saudara-saudara kita di Palestin
dan dapat memulihkan dan menguasai Baitulmaqdis dan menghalau Yahudi
laknatullah daripada menguasai dan membunuh saudara-saudara kita di Palestin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan