Pada
tarikh 27 Rejab setiap tahun, umat Islam diseluruh dunia akan mengadakan majlis
sambutan Israk dan Mikraj. Peristiwa Israk dan Mikraj berlaku pada 27 Rejab,
setahun sebelum Hijrah Nabi Muhammad ﷺ
dari Mekkah ke Madinah. Apabila bercerita tentang peristiwa Israk dan Mikraj
ini, kita secara spontan akan terbayang kisah perjalanan Rasulullah ﷺ bersama malaikat Jibril dan Mikail yang boleh dibahagikan
kepada dua fasa:
1.
Israk yakni
perjalanan Nabi Muhammad ﷺ menaiki
binatang Buraq dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjidil Aqsa, di Baitulmaqdis,
Palestin.
2. Mikraj ialah perjalanan dari
Masjidil Aqsa ke Sidratil Muntaha di langit yang ketujuh. Perjalanan Nabi
Muhammadﷺ ini
telah diabadikan oleh Allah سبحانه وتعالى
di dalam Al-Quran:
Firman
Allah سبحانه وتعالى:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ
مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١
“Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya
agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah
Al-Israa’: Ayat 1).
.
Menariknya,
keseluruhan perjalanan Rasulullah ﷺ
hanya berlangsung pada satu malam. Para ulama, hadis, ulama feqah dan ulama
tafsir secara umum menegaskan bahawa perisitiwa Israk dan Mikraj di mana
kedua-duanya berlaku dalam satu malam dan dalam keadaan baginda ﷺ sedar. Ia berlaku pada jasad atau tubuh dan roh Nabi Muhammadﷺ bukannya roh sahaja.
Sebagaimana
difahami daripada firman Allah dalam ayat tadi di mana Allah سبحانه
وتعالى menegaskan “asra bi ‘abdihi
lailan” yang bermaksud memperjalankan hamba-Nya pada waktu malam.
Perkataan hamba yang dimaksudkan di sini iaitu Nabi Muhammad ﷺ yang mana meliputi batang tubuh dan rohnya serentak bukannya
rohnya sahaja.
Jika
ia berlaku pada rohnya sahaja maka sudah tentu firman Allah itu berbunyi “asra
bi rohi ‘abdihi lailan” yang bermaksud memperjalankan roh hamba-Nya
pada waktu malam tetapi yang berlaku sebaliknya di mana Allah secara jelas
menyatakan bahawa Dia telah memperjalankan hamba-Nya iaitu Nabi Muhammadﷺ dalam keadaan tubuh dan rohnya serentak.
Peristiwa
ini pada pandangan orang yang tidak beriman atau mereka yang tipis imannya,
mereka menyatakan bahawa peristiwa ini tidak mungkin akan berlaku atau pun
mereka berbelah bahagi samada mahu mempercayainya atau pun sebaliknya. Tetapi
bagi orang yang benar-benar beriman kepada Allah dan rasul-Nya maka mereka
tetap percaya dengan penuh keimanan kepada peristiwa ini.
Setelah
Rasulullah ﷺ
menceritakan apa yang telah terjadi padanya kepada masyarakat umum maka
orang-orang kafir bertambah kuat mengejek dan mendustakan Baginda ﷺ. Fitnah terhadap Baginda ﷺ
bertambah kuat malah ada juga di kalangan mereka yang sebelum ini telah memeluk
Islam telah pun murtad kembali. Manakala bagi mereka yang begitu membenarkan
Baginda ﷺ, maka
iman mereka tetap utuh sebagaimana kita lihat kepada reaksi Sayyidina Abu Bakar
apabila dia mendengar berita daripada orang ramai tentang apa yang telah
diberitahu oleh Nabi Muhammad ﷺ
lalu beliau dengan tegas menyatakan :
“Benar!
Aku mengakui bahawa engkau merupakan Rasulullah ﷺ. Jika baginda ﷺ mengatakan bahawa baginda telah diperjalankan lebih jauh daripada itu
maka aku tetap beriman kepadanya.”
Inilah
ketegasan dan keyakinan yang tidak berbelah bahagi Sayyidina Abu Bakar dalam
mempercayai Allah dan rasul-Nya sehingga beliau digelar as-Siddiq yang membawa
maksud pembenar.
Selain
itu, pernah juga diriwayatkan Nabi Muhammad ﷺ
berjumpa dengan pelbagai keadaan manusia ketika di dalam perjalanan tersebut.
Meskipun kisah tentang peristiwa bersejarah ini seringkali diulangcerita oleh
para penceramah setiap kali sambutan Israk dan Mikraj diadakan, saya melihat
roh dan intipati di sebalik peristiwa ini masih tidak meresap ke dalam jiwa
masyarakat Islam.
.
.
A. Sebelum Israk
dan Mikraj
.
Sebelum
melalui kejadian Israk dan Mikraj, Nabi Muhammadﷺ
mengalami pembedahan dada yang dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il.
Hati Baginda ﷺ dicuci
dengan air zam-zam serta dibuang ketulan hitam (‘alaqah) iaitu
tempat syaitan membisikkan was²nya. Kemudian dituangkan hikmah, ilmu dan iman
ke dalam dada Rasulullah ﷺ. Setelah
itu, dada Baginda ﷺ dijahit
dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”.
Selesai
pembedahan, didatangkan binatang bernama “Buraq” untuk
ditunggangi oleh Rasulullah ﷺ
dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.
.
.
B. Semasa Israk
(Perjalanan
dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):
.
Sepanjang
perjalanan (Israk) itu Nabi Muhammad ﷺdiiringi
(ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat² tertentu (tempat²
yang mulia dan bersejarah), Rasulullah ﷺ
telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat.
Di
antara tempat² berkenaan adalah:
1.
Negeri
Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah ﷺ
akan melakukan hijrah.
2. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa
A.S. menerima wahyu daripada Allah سبحانه وتعالى;
3. Baitul-Laham (tempat Nabi Isa A.S.
dilahirkan);
.
.
Peristiwa Ajaib
.
Dalam
perjalanan itu juga Nabi Muhammad ﷺ
menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan
peristiwa² simbolik yang amat ajaib.
Di
antara peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
.
1.
Kaum
yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai,
hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini
berlaku berulang-ulang. Rasulullah ﷺ
dibertahu oleh Jibrail : “Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang
digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan
yang lebih banyak.”
2. Tempat yang berbau harum. Rasulullah ﷺ diberitahu oleh Jibrail : “Itulah bau kubur Masyitah
(tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak²nya (termasuk bayi
yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun
kerana tetap teguh beriman kepada Allah سبحانه وتعالى
(tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).”
3. Sekumpulan orang yang sedang memecahkan
kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu
dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu
Rasulullah ﷺ: “Itulah
orang² yang berat kepala mereka untuk sujud (solat).”
4. Sekumpulan orang yang hanya menutup
kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti
binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata
Jibrail : “Itulah orang² yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.”
5. Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang
memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka.
Kata Jibrail: “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina
sedangkan lelaki dan perempuan itu masing² mempunyai isteri / suami.”
6. Lelaki yang berenang dalam sungai darah
dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: “Itulah orang yang makan riba`.”
7. Lelaki yang menghimpun seberkas kayu
dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata
Jibrail: “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih
menerima amanah yang lain.”
8. Satu kaum yang sedang menggunting lidah
dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah
dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: “Itulah orang
yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak
melakukannya.”
9. Kaum yang mencakar muka dan dada mereka
dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: “Itulah orang yang memakan
daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan)
orang.”
10. Seekor lembu jantan yang besar keluar
dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata
Jibrail: “Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian
menyesal, tapi sudah terlambat.”
11. Seorang perempuan dengan dulang yang
penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah ﷺ
tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. “Jika
Rasulullah ﷺ memberi perhatian kepadanya, nescaya
umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.”
12. Seorang perempuan tua duduk di tengah
jalan dan menyuruh Rasulullah ﷺ
berhenti. Rasulullah ﷺtidak menghiraukannya. Kata
Jibrail: “Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.”
13. Seorang perempuan bongkok tiga menahan
Rasulullah ﷺ untuk
bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: “Itulah gambaran umur dunia yang
sangat tua dan menanti saat hari kiamat.”
.
Setibanya
di masjid Al-Aqsa, Nabi Muhammad ﷺ
turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua
rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Nabi
Muhammad ﷺ terasa
dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah ﷺ memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: “Baginda ﷺ membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih,
nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.”
.
.
C. Semasa
Mikraj
(Naik
ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah سبحانه وتعالى):
.
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Nabi Muhammad h ﷺ dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu
langit dunia (pintu Hafzhah).
.
1.
Di
Tangga Pertama:
Nabi
Muhammad ﷺ dan
Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A.S. Kemudian
dapat melihat orang² yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang
berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki
bergantung pada susu penzina perempuan.
.
2. Di Tangga Kedua:
Nabi
Muhammad ﷺ. dan
Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa
A.S. dan Nabi Yahya A.S.
.
3. Di Tangga Ketiga:
Naik
langit ketiga. Rasulullah ﷺ
bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
.
4. Di Tangga Keempat:
Naik
tangga langit keempat. Rasulullah ﷺ
bertemu dengan Nabi Idris A.S.
.
5. Di Tangga Kelima:
Naik
tangga langit kelima. Rasulullah ﷺ
bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
.
6. Di Tangga Keenam:
Naik
tangga langit keenam. Nabi Muhammad ﷺ
bertemu dengan Nabi². Seterusnya dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah ﷺ mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat
umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa
hisab.
.
7. Di Tangga Ketujuh:
Naik
tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah ﷺ.
Nabi
Ibrahim A.S. bersabda, “Dikau akan berjumapa
dengan Allah سبحانه وتعالى pada
malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk
umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu:
“LAH HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH.”
Mengikut
riwayat lain, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu
mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima
kalimah, iaitu:
“SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH
ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-‘AZHIM.”
Bagi
orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam
syurga.”
Setelah
melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah ﷺ
dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersolat (Baitul-Makmur ini betul²
di atas Baitullah di Mekah).
.
8. Di Tangga Kelapan:
Di
sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah ﷺ
menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah,
sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun², batang dan
dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata² yang indah. Unggas²
emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda ﷺ dapat menyaksikan juga sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga.
Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik
penunggunya.
.
9. Di Tangga Kesembilan:
Di
sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah ﷺmasuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan
Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur
‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya
tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
.
10.
Di Tangga Kesepuluh:
Rasulullah
ﷺ sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat Rabbul-Arbab lalu dapat
menyaksikan Allah سبحانه وتعالى dengan
mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah سبحانه
وتعالى dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah
سبحانه
وتعالى: “Ya
Muhammad!”
Nabi
Muhammad ﷺ: “Labbaika.”
Allah
سبحانه
وتعالى: “Angkatlah
kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.”
Nabi
Muhammad ﷺ : “Wahai Tuhanku! Dikau telah ambil Ibrahim
sebagai Khalil dan Dikau berikan dia kerajaan yang besar. Dikau berkata-kata
dengan Musa. Dikau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan
besi. Dikau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Dikau kurniakan
kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan
angin. Dikau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat
menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Dikau
lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.”
Allah
سبحانه
وتعالى: “Aku
ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan
amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu
sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (Surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat² di akhir surah al-Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan
Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji²
Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku
fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) solat.”
.
.
D. Selesai Munajat
.
Selepas
selesai munajat, Nabi Muhammad ﷺ
di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. kemudian Nabi Musa A.S. yang kemudiannya
menyuruh Rasulullah ﷺ merayu
kepada Allah سبحانه وتعالى agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu solat itu. Selepas sembilan kali
merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah سبحانه
وتعالى perkenan memfardhukan solat lima waktu
sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.
.
.
E. Selepas Mikraj
.
Nabi
Muhammad ﷺ turun ke
langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq
perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda
bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti)
peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa
itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah).
(Sumber
: Kitab Jam’ul-Fawaa`id)
.
.
Penutup
Peristiwa
Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan
kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita
menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara
yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang
memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi
keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah سبحانه وتعالى
dan takut kepada kekuasaan-Nya.
Seandainya
peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar
kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai
kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam
(apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang² kafir di zaman
Nabi ﷺ langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi
Muhammad ﷺ sebaik
Baginda bercerita kepada mereka.
Peristiwa
Israk dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau
kekuasaan Allah سبحانه وتعالى. Allah سبحانه
وتعالى telah menunjukkan bukti² kekuasaan dan
kebesaran-Nya kepada Baginda ﷺ.
.
Firman
Allah سبحانه
وتعالى:
سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ
الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ
مِنْ آيَاتِنَاۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ ﴿١
“Maha
Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari
Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya
agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.
Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).
.
.
والله أعلم بالصواب
Tiada ulasan:
Catat Ulasan