Irsyad al-Hadith Siri ke-40: hadis tentang Malaikat Maut
ziarah manusia 70 kali sehari
Butiran
Dimuatnaik oleh Umar Mukhtar Mohd Noor
Diterbitkan: 08 April 2016
Hadith
Hadith ini adalah hadith yang masyhur dan diriwayatkan oleh
Anas bin Malik RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda :
إِنَّ مَلَكَ
الْمَوْتِ لَيَنْظُرُ فِي وُجُوهِ الْعِبَادِ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعِينَ نَظْرَةً،
فَإِذَا ضَحِكَ الْعَبْدُ بَعَثَ إِلَيْهِ يَقُولُ: يَا عَجَبَاهُ بُعِثْتُ
إِلَيْهِ لأَقْبِضَ رُوحَهُ وَهُوَ يَضْحَكُ
Maksudnya : “Sesungguhnya malaikat maut akan melihat
wajah-wajah hamba (manusia) setiap hari sebanyak 70 kali, apabila hamba
tersebut ketawa maka akan diutuskan malaikat tersebut kepadanya lalu berkata:
Sangat menghairankan, aku telah diutuskan kepada engkau untuk mengambil rohnya
ketika dia sedang ketawa”. [Jami’ al-Kabir, 1:79454, no. hadith: 1741]
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam
kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat
baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Hukum hadith
Riwayat ini telah dihukum sebagai palsu oleh Ibn Iraq
al-Kinani dan beliau telah memasukkannya di dalam kitabnya iaitu “Tanzih
al-Syariah al-Marfu'ah 'an al-Akhbar al-Syani'ah al-Maudhu'ah”. [Lihat:
2:375]
Tarjih
Setelah kami meneliti dan menekuni riwayat tersebut, riwayat
ini juga terdapat di dalam kitab “al-Tazkirah” oleh Imam
al-Qurthubi dan juga di dalam “Tarikh al-Baghdad” oleh Ibn
al-Najjar. Walaubagaimanapun, kami cenderung dan sependapat dengan
Ibn Iraq bahawa hukum riwayat atau hadith ini adalah palsu. Untuk itu, kita
tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW ataupun menyebarkannya
kepada orang lain.
Penutup
Kesimpulannya, mengenalpasti akan kesahihan status sebuah
hadith adalah penting kerana Nabi SAW telah mengancam terhadap orang-orang yang
melakukan pendustaan terhadapnya dan juga kalamnya (hadithnya). Sebagaimana
sabda Nabi SAW:
مَن حَدَّثَ عنِّي
بِحديثٍ ، يَرَى أنَّهُ كَذِبٌ ، فَهُوَ أحَدُ الكاذِبَيْنِ
Maksdunya: “Barangsiapa yang berkata-kata daripadaku
akan sebuah hadith dan dia melihat bahawa ia adalah dusta maka dia adalah
salah seorang daripada pendusta itu”.
(Riwayat
Muslim, Tirmizi, Ibn Majah)
Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita orang yang
cintakan ilmu serta memberi kita kefahaman di dalam agama ini dan memelihara
kita daripada melakukan kesalahan dalam menyampaikan hadith Nabi SAW. Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan