IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-168: PENGHULU SEGALA ISTIGHFAR
Details
Uploaded by Muhammad Mushfique Bin Ahmad Ayoup @ Ayub
Published: 14 March 2017
Soalan: Apakah yang dimaksudkan dengan penghulu
segala istighfar?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam
kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat
baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam kehidupan kita, kita perlulah banyak beristighfar
kepada Allah SWT iaitu memohon ampun kepada-Nya di atas segala dosa dan
kesilapan yang telah kita lakukan. Ini kerana, Nabi SAW yang diketahui bahawa
Allah SWT telah mengampunkan dosanya yang telah lalu dan akan datang tidak
pernah meninggalkan istighfar ini. Di dalam sebuah hadith, diceritakan bahawa
Nabi SAW beristighfar lebih daripada 70 kali sehari sebagaimana yang
diriwayatkan di dalam Sahih Imam al-Bukhari:
- Daripada
Abu Hurairah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنِّي
لَأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ فِي اليَوْمِ أَكْثَرَ مِنْ سَبْعِينَ
مَرَّةً
Maksudnya: “Demi Allah, sesungguhnya aku beristighfar
kepada Allah dan memohon ampun kepada-Nya setiap hari lebih daripada 70
kali”. [Riwayat al-Bukhari (6307)]
Demikian menunjukkan akan pentingnya istighfar di dalam
kehidupan seharian kita. Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith yang
menceritakan berkaitan Penghulu Istighfar atau ia dinamakan sebagai Sayyid
al-Istighfar.
- Daripada
Syaddad bin Aus RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
سَيِّدُ
الِاسْتِغْفَارِ أَنْ تَقُولَ: اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي لاَ إِلَهَ إِلَّا
أَنْتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ مَا
اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ
عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لاَ يَغْفِرُ
الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ
Maksudnya: “Sayyid al-Istighfar hendaklah kamu
mengucapkan: Ya Allah, Engkau adalah Rabbku, tidak ada Ilah yang berhak
disembah dengan benar melainkan Engkau. Engkau yang menciptakan aku dan aku
adalah hamba-Mu. Aku di atas perjanjian-Mu dan janji-Mu sesuai dengan
kemampuanku. Aku berlindung kepada-Mu dari keburukan perbuatanku, aku mengakui
nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosaku kepada-Mu, maka ampunilah aku. Ini
kerana, tiada yang dapat mengampuni dosa melainkan Engkau”. [Riwayat
al-Bukhari (6306)]
Di dalam Fath al-Bari, Imam Ibn Hajar menaqalkan perkataan
Ibn Jamrah yang mengatakan bahawa di dalam hadith ini, Nabi SAW telah
menghimpunkan seni makna-makna serta lafaz-lafaz yang indah dan dengan itu
melayakkan ia digelar sebagai penghulu segala istighfar. Di samping itu juga,
terdapat padanya ikrar kepada Allah yang Esa akan keEsaan-Nya dan juga
Ubudiyyah kepada-Nya (yang hanya berhak disembah). Tambahan pula, di dalamnya
terdapat pengiktirafan (daripada hamba) bahawa Allah adalah pencipta dan
beriqrar dengan janji yang diambil oleh Allah ke atasnya. Selain itu, berserah
dengan apa yang telah ditetapkan oleh Allah kepadanya serta memohon
perlindungan (daripada Allah) dari segala kejahatan yang dilakukan oleh
seseorang hamba itu terhadap dirinya. Di dalamnya juga terdapat sandaran
kesenangan kepada pencipta-Nya dan juga sandaran dosa kepada diri pelakunya
serta keinginannya untuk memohon ampun dan pengiktirafan akan dosa yang telah
dilakukannya bahawa tiada yang mampu untuk mengampunkan dosa-dosa tersebut
melainkan Allah SWT. [Lihat: Fath al-Bari, 100/11]
Di dalam hadith ini juga, Nabi SAW menyatakan akan kelebihan
bagi sesiapa yang beramal dengan Sayyid al-Istighfar.
- Sabda
Baginda SAW lagi di dalam hadith yang sama:
وَمَنْ قَالَهَا
مِنَ النَّهَارِ مُوقِنًا بِهَا، فَمَاتَ مِنْ يَوْمِهِ قَبْلَ أَنْ يُمْسِيَ،
فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، وَمَنْ قَالَهَا مِنَ اللَّيْلِ وَهُوَ مُوقِنٌ
بِهَا، فَمَاتَ قَبْلَ أَنْ يُصْبِحَ، فَهُوَ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mengucapkannya (Sayyid
al-Istighfar) di waktu siang hari serta yakin dengannya, lalu dia meninggal
pada hari itu sebelum waktu petang, maka dia termasuk dalam kalangan penghuni
syurga. Dan barangsiapa yang mengucapkannya di waktu malam dengan penuh
keyakinan lalu dia meninggal sebelum masuk waktu pagi, maka dia termasuk dalam
kalangan penghuni syurga”.
Antara kelebihan lain yang dinyatakan di dalam hadith:
- Daripada
Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَنْ لَزِمَ
الِاسْتِغْفَارَ، جَعَلَ اللَّهُ لَهُ مِنْ كُلِّ ضِيقٍ مَخْرَجًا، وَمِنْ كُلِّ
هَمٍّ فَرَجًا، وَرَزَقَهُ مِنْ حَيْثُ لَا يَحْتَسِبُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melazimi (sentiasa)
istighfar, Allah SWT menjadikan untuknya bagi setiap kesempitan itu jalan
keluar, setiap kebimbangan itu kelapangan dan Allah juga mengurniakan kepadanya
rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka”. [Riwayat Abu Daud (1518)][Menurut
Syeikh Syu’aib al-Arna’outh: Sanadnya dhaif kerana salah seorang perawi bernama
al-Hakam bin Mus’ab padanya jahalah (tidak dikenali) sebagaimana yang
dinyatakan oleh Imam al-Zahabi]
Menurut Syeikh Muhsin al-‘Abbad al-Badr ketika mensyarahkan
hadith ini berkata:
“Walaupun hadith ini dhaif dari sudut sanadnya
tetapi maknanya terdapat di dalam al-Qur’an ketika membahaskan berkaitan
taqwa di dalam surah al-Thalaq 2 hingga 3. Selain itu, di dalam al-Qur’an juga
menyatakan bahawa istighfar merupakan sebab mendapat rezeki sebagaimana di
dalam surah Nuh ayat ke 10 hingga 12”.
Penutup
Kesimpulannya, istighfar sangat penting kerana padanya
terdapat banyak kelebihan. Selain itu juga, kita sebagai seorang manusia biasa
yang tidak lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan perlulah melazimi
istighfar di dalam kehidupan seharian kita. Tambahan pula, istighfar mempunyai
banyak lafaz dan bukannya terhad pada satu lafaz sahaja. Akhirnya, semoga Allah
SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-Nya yang sentiasa melazimi istighfar
serta menggolongkan kita dalam kalangan penghuni syurga. Amin.
Wallahua’lam
Tiada ulasan:
Catat Ulasan